PETALING JAYA: Kerajaan menegaskan pengamal media berhak mengemukakan sebarang soalan selaras prinsip ketelusan dan kebebasan bersuara yang diamalkan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pendirian itu telah disampaikan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, pada Jumaat.
Beliau menegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sentiasa bersikap terbuka terhadap sebarang pertanyaan daripada pihak media.
“Saya jelaskan dalam mesyuarat bahawa Perdana Menteri sendiri terbuka menerima apa jua soalan dan kerajaan berpendirian wartawan berhak bertanya dalam menjalankan tugas mereka,” katanya dalam sidang media mingguan pada Jumaat.
Kenyataan Fahmi itu susulan tularnya rakaman video seorang menteri menjawab soalan wartawan dengan nada keras berhubung penggunaan bahasa Inggeris pada nama sebuah acara.
Insiden itu mengundang reaksi pelbagai pihak termasuk Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm) yang menegur cara menteri berkenaan menjawab pertanyaan media.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, kerajaan menekankan kepentingan saling menghormati antara pihak media dan pemimpin dalam memastikan komunikasi yang sihat dan profesional.
“Setiap jawapan daripada mana-mana menteri perlulah disampaikan dengan berhemah dan berdasarkan semangat keterbukaan agar hubungan baik antara kerajaan dan media terus terpelihara,” katanya.
Baca juga:








