Kerajaan tiada kuasa arah penyedia platform media sosial sekat kandungan

KUALA LUMPUR: Hanya penyedia platform itu sahaja yang boleh menyekat atau menurunkan sesuatu kandungan di akaun media sosial itu, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, kerajaan tiada kuasa untuk mengarahkan penyedia platform media sosial bagi mengambil sebarang tindakan kerana ia hanya dilakukan sekiranya kandungan atau akaun itu telah melanggar undang-undang.

Menurut beliau, platform paling lemah dalam menguruskan isu penipuan dalam talian ialah Telegram.

“Saya sebutkan antara platform paling lemah menguruskan isu penipuan dalam talian adalah Telegram. Sehubungan itu, kita perlu ambil tindakan tegas terhadap platform media sosial supaya rakyat tidak menjadi mangsa pelbagai jenayah,” tagasnya.

Ujarnya lagi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dijadual mengadakan perbincangan lanjut bersama platform itu minggu ini berkait pelbagai isu.

“Pihak Telegram akan datang ke Kuala Lumpur dalam minggu ini untuk meneruskan perbincangan dengan MCMC antaranya berkaitan isu judi dalam talian, bahan jelik berkait kanak-kanak, bahan persundalan, jualan pornografi dan banyak lagi,” jelas Datuk Fahmi.

Tambah beliau, perbincangan lanjut antara MCMC dan Telegram antara lain akan turut menyentuh aspek perundangan yang dilihat berbeza bagi setiap negara.

“Undang-undang sedikit berbeza untuk setiap negara. Di Malaysia, judi dalam talian tidak dibenarkan berbanding di Vietnam dan beberapa negara lain.

“Sehubungan itu, kita melihat aspek undang-undang memerlukan perbincangan lanjut berkaitan pelaksanaan sekali gus memastikan Telegram mematuhi undang-undang negara kita,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Nadi Aspirasi Nasional Bersama Anak Muda (NANBA) di sini hari ini.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat