Kerajaan Tidak Abaikan Kebajikan Anggota ATM – PM

SANDAKAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan MADANI tidak akan mengabaikan kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menjadi benteng utama mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara.

Dalam ucapannya ketika menyantuni warga ATM di Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) Sandakan, Anwar merakamkan penghargaan terhadap pengorbanan serta jasa anggota dan pegawai yang disifatkan sebagai tiang seri pertiwi.

“Jasa dan pengorbanan kalian tidak ternilai, dan akan sentiasa terpahat dalam ingatan bangsa,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan kini giat mempercepatkan pelaksanaan projek infrastruktur termasuk pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) serta jeti baharu di Pangkalan TLDM Sandakan bagi menjamin keselesaan anggota dan keluarga.

Selain kebajikan, katanya, kerajaan juga memberi tumpuan kepada pemerkasaan aset pertahanan dengan teknologi terkini agar ATM kekal ampuh menghadapi cabaran keselamatan serantau dan global.

Anwar turut menyeru warga ATM untuk memperkukuh penguasaan teknologi baharu serta memperluas kerjasama dengan pelbagai pihak demi meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi anggota dan keluarga.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan Kementerian Pertahanan supaya memastikan setiap perbelanjaan dilakukan secara telus, berhemah dan bebas daripada ketirisan.

“Kekuatan pertahanan negara bukan hanya terletak pada aset dan anggota, tetapi juga bergantung pada integriti pengurusan,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat