PARLIMEN | Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung Pemberian Khas 40 peratus hasil kepada Sabah, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu dibuat kerana isu berkenaan telah dijamin secara jelas dalam Perlembagaan, justeru tidak wajar dipertikaikan semula melalui proses rayuan.
Menurut beliau, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican, secara rasmi telah diarah menghantar surat kepada Kerajaan Negeri Sabah hari ini bagi memulakan rundingan semula mengenai pelaksanaan pemberian khas tersebut.
“Hari ini Perbendaharaan melalui Ketua Setiausaha Perbendaharaan menulis surat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri supaya rundingan dimulakan segera dan tidak ada lagi penangguhan,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar turut menjelaskan bahawa keputusan Jabatan Peguam Negara untuk memfailkan rayuan dalam kes lain tidak melibatkan isu pemberian khas tersebut, bagi mengelakkan kekeliruan dalam tafsiran.
“Saya nak jelaskan… ada yang menafsirkan keputusan Jabatan Peguam Negara untuk failkan rayuan itu akan mengungkit perkara pertama (pemberian khas). Saya tegaskan sekali lagi tidak ada rayuan dalam isu pemberian khas. Noktah,” katanya tegas.
Keputusan ini sekali gus mengesahkan komitmen kerajaan untuk menunaikan hak Sabah seperti yang dijamin dalam Perkara 112C dan Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan negeri itu berhak menerima 40 peratus daripada hasil bersih yang dikutip kerajaan persekutuan di Sabah.