Kerajaan tidak campur tangan tindakan agensi penguatkuasa – Anwar

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan tidak campur tangan berkenaan tugas pihak berkuasa berkaitan tindakan yang diambil terhadap mana-mana pihak.

Katanya, ini termasuk dalam soal membasmi gejala rasuah dan pencegahan jenayah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jelas Anwar, tindakan dilakukan oleh agensi-agensi terlibat bertujuan memastikan tatakelola yang baik di bawah pentadbiran Kerajaan Madani.

“Ada orang kata saya dendam, cari salah. Tak benar kerana saya beri kebebasan sepenuhnya. Saya beritahu Jemaah Menteri, kita tidak campur.

“Kita beri kebebasan kepada PDRM menjalankan kerja mereka, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dengan tugasnya kutip cukai dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) untuk cegah salah guna kuasa dan rasuah,” katanya, memetik berita TVS pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Alamanda Berwajah Baharu di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Pegawai Eksekutif Putrajaya Holdings (PJH), Datuk Izwan Hasli Mohd Ibrahim.

Tegas beliau lagi, keputusan badan penguat kuasa mengambil tindakan tegas kepada pihak terlibat adalah untuk menghentikan amalan tidak beretika yang hanya menguntungkan pihak tertentu tetapi memberi kerugian besar kepada negara dan rakyat secara amnya.

Terdahulu, SPRM melaporkan telah menahan reman empat pegawai terkait bekas perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob antara tiga hingga lima hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 16a Akta SPRM.

Seksyen berkenaan memperuntukan siasatan melibatkan meminta atau menerima rasuah.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat