PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan komited untuk tidak mencampuri urusan badan kehakiman
Tegas Anwar, itu termasuk kes-kes melibatkan golongan kenamaan.
“Saya nak tanya, kes mana kita campur? Keputusan mana saya bincang dengan hakim? Tidak ada.
“Bagi kita, Perdana Menteri tidak boleh berkompromi atau terlibat dalam sebarang kes mahkamah,” ,” katanya ketika berucap di Kongres Kebangsaan DAP ke-18 di Shah Alam.
Anwar turut menekankan tanggungjawab kerajaan untuk memastikan individu yang dilantik ke badan kehakiman adalah bebas, berwibawa dan tidak terjerumus dalam kepentingan perniagaan atau rasuah.
“Kita mahu pastikan yang dilantik ini cukup berwibawa dan bebas dan tidak terjerumus dengan kepentingan perniagaan dan rasuah.
“Ini tanggungjawab kita dalam kerajaan sebab kita kena jawab dalam Parlimen dan kepada rakyat,” tambah beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Peguam mengutuk sebarang campur tangan terhadap kebebasan badan kehakiman oleh mana-mana pihak.
Resolusi itu turut menggesa penubuhan suruhanjaya siasatan bebas untuk menyiasat ucapan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, semasa Majlis Pembukaan Tahun Perundangan (OLY) pada Januari lalu.
Anwar menegaskan keperluan pengawasan oleh badan bebas terhadap badan kehakiman untuk menjamin prinsip semak dan imbang.
“Mesti ada pengawasan, mesti ada semak dan imbang. Kita perlu pastikan tiada unsur rasuah atau salah guna kuasa,” katanya, sambil menekankan bahawa setiap perubahan perlu dilakukan dengan berhati-hati.