Kerajaan Tidak Kompromi Pihak Salah Guna Hak Himpun Demi Politik Sempit – Saifuddin

PETALING JAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengecam sekeras-kerasnya insiden serangan terhadap Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman, yang cedera ketika mengawal operasi pengosongan bangunan di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur pada Khamis.

Beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai keji, tidak bertamadun dan sama sekali tidak boleh diterima.

“Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan rakyat untuk berhimpun secara aman dan menyuarakan pandangan, namun kebebasan ini tidak boleh disalahguna dan mesti dipatuhi dalam kerangka undang-undang, adab serta norma masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan media.

Saifuddin berkata, Malaysia sebagai negara berdaulat menuntut setiap warga untuk menghormati prinsip kedaulatan undang-undang dan mengelakkan sebarang tindakan yang bercanggah dengan peraturan negara.

“Saya telah mengarahkan pihak berkuasa untuk segera melaksanakan siasatan rapi dan memastikan dalang serta pelaku yang terlibat dibawa segera ke muka pengadilan.

“Keselamatan dan kesejahteraan rakyat, serta integriti pasukan keselamatan negara, adalah keutamaan yang tidak boleh dikompromi,” ujarnya.

Beliau turut menekankan bahawa kerajaan sentiasa menghormati hak rakyat untuk berhimpun dan menyatakan pendirian secara aman, selagi ia berlangsung mengikut lunas undang-undang.

“Namun, kebebasan ini hadir bersama tanggungjawab.

“Ia menuntut semua pihak untuk mematuhi hukum, adab serta undang-undang negara,” tambahnya.

Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus memaklumkan bahawa ACP Sulizmie cedera akibat dibaling objek oleh sekumpulan individu yang dikenal pasti bukan penduduk Kampung Sungai Baru dan dipercayai cuba menimbulkan kekecohan.

Anda Mungkin Berminat