Kerajaan Tidak Laksana Ujian Diagnostik Kemasukan Darjah Satu

PARLIMEN | Kerajaan bersetuju untuk tidak melaksanakan ujian diagnostik khas bagi kemasukan ke Darjah Satu melibatkan murid berusia enam tahun, bagi mengelakkan bebanan kepada kanak-kanak serta mempermudah pelaksanaan sistem pendidikan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak, selain memberi keutamaan kepada pemantauan berterusan terhadap perkembangan murid melalui peranan guru dan ibu bapa.

“Oleh itu, ujian tersebut ditiadakan supaya pelaksanaan dapat dipermudahkan.

“Bagaimanapun, tanggungjawab untuk memantau tahap kesediaan dan kelayakan anak-anak terletak pada guru-guru serta ibu bapa,” katanya ketika menjawab soalan pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri (MPQT) di Dewan Rakyat, Isnin lalu.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan memaklumkan bahawa ujian saringan diagnostik khas dicadangkan bagi menentukan kelayakan kanak-kanak memasuki Tahun Satu seawal usia enam tahun mulai sesi persekolahan 2027.

Menurut beliau, hanya murid yang memenuhi kriteria ditetapkan dan lulus ujian berkenaan akan dipertimbangkan untuk kemasukan tersebut.

Sementara itu, Anwar menjelaskan bahawa pelaksanaan ujian penilaian di Darjah Empat memberi ruang kepada pihak berkepentingan untuk melakukan penambahbaikan dalam tempoh sekurang-kurangnya dua tahun sebelum murid melangkah ke peringkat menengah.

“Dalam apa juga cadangan, pasti ada kontroversi. Buat ujian di Darjah Tiga dikatakan salah, Darjah Empat salah, Darjah Enam pun salah. Tidak buat ujian langsung juga dikatakan salah.

“Oleh itu, kita putuskan untuk melaksanakan ujian di Darjah Empat terlebih dahulu dan menilai keberkesanannya,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa sistem pendidikan perlu bersifat dinamik serta melalui proses penilaian berterusan, khususnya di peringkat awal.

“Ini adalah satu cadangan dan pelaksanaannya akan dinilai dari semasa ke semasa. Saya berharap masyarakat dan ibu bapa memberi ruang untuk kita melaksanakannya sebaik mungkin,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat