Kerajaan tidak menyediakan sebarang dana khas untuk membawa masuk artis luar negara bagi mengadakan konsert di negara ini.
Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, perbelanjaan tersebut ditanggung oleh pihak penganjur sekali gus menjadi inisiatif mereka untuk menjadi acara tersebut eksklusif di negara mereka.
“Kebanyakan acara konsert adalah antara syarikat swasta yang menandatangani kontrak untuk memasukkan artis luar negara secara eksklusif dalam negara.
“Sebelum ini, sebuah penganjur konsert telah membawa Muse untuk membuat persembahan di Kuala Lumpur dan semua negara di Asia tidak termasuk dalam tour tersebut,” katanya kepada media selepas majlis Pelancaran Kod Etika Wartawan Malaysia di Putrajaya, pada Selasa.
Fahmi memberi reaksi demikian bagi mengulas dakwaan mengatakan kerajaan Singapura membiayai AS$3 juta (RM14,376,000) untuk Konsert Taylor Swift: The Eras Tour hanya dilakukan di Singapura dan tidak dilakukan di negara Asia Tenggara lain.
Jelasnya, sebarang kemasukan mahupun penganjuran konsert penyanyi luar negara melibatkan pihak penganjur dalam negara, tanpa dibiayai oleh kerajaan.
“Tindakan sebegitu merupakan usaha pihak penganjur itu sendiri untuk tujuan pemasaran dan promosi.
“Bagi pihak Kementerian Komunikasi, kami hanya memudahkan proses permohonan konsert untuk diadakan dalam negara, tanpa melibatkan pemberian dana kepada mana-mana pihak,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin mendakwa Swift mempunyai perjanjian tidak boleh menganjurkan konsert jelajah The Eras Tour di negara Asia Tenggara lain kecuali Singapura.
Dakwanya, kerajaan Singapura menawarkan antara RM9.5 juta hingga RM14.3 juta bagi setiap persembahan eksklusif hanya untuk negara berkenaan.
Baca juga: