Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: TikTok memberi jaminan untuk menyelesaikan masalah buli siber, ancaman, penipuan dan fitnah di Malaysia melalui kerjasama dengan Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Bank Negara Malaysia (BNM).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan jaminan ini selepas mengadakan pertemuan dengan delegasi TikTok yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif, Shou Zi Chew di Peru.
Anwar menyatakan bahawa tindakan ini susulan isu-isu siber yang semakin berleluasa di Malaysia.
“Dalam pertemuan ini, saya membangkitkan beberapa perkara, antaranya pelaksanaan kerangka kawal selia untuk melesenkan perkhidmatan media sosial dan pesanan internet bermula 1 Januari tahun depan,” katanya.
Beliau juga menyatakan bahawa terdapat perbincangan antara Kerajaan MADANI dan TikTok di Malaysia untuk melanjutkan pelaburan secara besar-besaran ke dalam negara.
“TikTok komited untuk menyokong segala usaha Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025,” tambah Anwar.
Pertemuan ini mencerminkan komitmen TikTok dalam memastikan platform mereka lebih selamat dan bertanggungjawab kepada pengguna Malaysia selari dengan aspirasi kerajaan untuk mengawal selia penggunaan media sosial secara telus dan berkesan.
Baca lagi.