PETALING JAYA: Pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) pada Selasa telah memberi perhatian serius terhadap penemuan audit yang mendedahkan ketakteraturan kewangan berpotensi menjejaskan kredibiliti negara.
Sehubungan itu, dalam satu hantaran di Facebook Perdana Menteri menyatakan mesyuarat bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Ketakteraturan Serius (JTKS) bagi memperkukuh tindakan susulan secara lebih holistik dan berimpak tinggi.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu selari dengan pindaan Akta Audit 1957 yang memperkukuhkan peranan Jabatan Audit Negara dalam memastikan ketelusan dalam pengurusan kewangan negara.
“Penubuhan JTKS ini bertujuan memastikan tindakan susulan yang lebih holistik, bersasar dan berimpak tinggi dapat dilaksanakan, selaras dengan prinsip kebertanggungjawaban, ketelusan dan integriti,” kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan.
JTKS dijangka menjadi mekanisme penting dalam memperbaiki kelemahan sistem serta mengembalikan keyakinan terhadap tatakelola fiskal negara.