PETALING JAYA: Kerajaan bersetuju menubuhkan Majlis Penasihat Aset Digital dan Kecerdasan Buatan (AI) sebagai sebuah entiti strategik yang bakal memainkan peranan penting dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai peneraju teknologi serta ekonomi digital global.
Menurut Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Tunku Nashrul Abaidah, kerajaan mengiktiraf sektor teknologi aset digital dan AI sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi serta daya saing negara.
“Satu entiti penasihat strategik yang akan memainkan peranan penting untuk meletakkan negara mampu menguasai teknologi ini lantas berada di barisan hadapan dalam ekonomi digital dunia,” katanya pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri, hari ini.
Beliau berkata, majlis itu bakal dianggotai oleh pakar dari dalam dan luar negara, pemain industri, ahli akademik serta tokoh pemikir dasar.
“Penubuhan ini adalah untuk memastikan pendekatan kita bukan sahaja sejajar dengan amalan terbaik antarabangsa, tetapi juga dalam konteks Malaysia,” tambahnya.