PETALING JAYA: Barisan Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan sebuah Pusat Arahan Komunikasi berkaitan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi menyelaras penyampaian maklumat kerajaan berhubung krisis semasa, khususnya melibatkan tenaga global dan konflik Asia Barat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pusat berkenaan akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan berfungsi sebagai platform utama koordinasi komunikasi antara kementerian serta agensi berkaitan.
Menurut beliau, pusat itu juga akan mengadakan sidang media setiap hari pada jam 4 petang bagi memaklumkan perkembangan terkini serta langkah-langkah yang diambil kerajaan.
“Penubuhan pusat ini penting bagi memastikan maklumat yang disampaikan kepada rakyat adalah tepat, selaras dan bersepadu, khususnya dalam mendepani cabaran krisis tenaga global serta situasi geopolitik semasa,” katanya di sidang media pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, Fahmi memaklumkan Kerajaan Madani turut memperkukuh usaha menangani penyebaran berita palsu di platform media sosial, dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengenal pasti puluhan kandungan tidak benar berkaitan isu ekonomi dan bahan api.
Beliau menekankan tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang menyebarkan maklumat palsu, termasuk siasatan di bawah undang-undang sedia ada.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata beberapa langkah lain turut dibincangkan Jemaah Menteri termasuk usaha mengurangkan kerenah birokrasi dalam urusan perniagaan, selain penelitian dasar bekerja dari rumah bagi sektor awam.
Katanya, kerajaan komited memastikan kestabilan ekonomi negara terus terpelihara di samping memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi keutamaan dalam kerangka Malaysia Madani.
Baca juga:








