KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mewujudkan stok penimbal strategik nasional bagi memastikan bekalan ubat-ubatan dan peranti perubatan negara kekal terjamin susulan Krisis Tenaga Global akibat konflik di Asia Barat.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata langkah itu merupakan antara pendekatan mampan bagi jangka sederhana dan panjang, termasuk usaha beralih daripada penggunaan bahan mentah berasaskan resin kepada polimer untuk produk tertentu.
Menurut beliau, kerajaan turut merangka dasar keterjaminan ubat negara menerusi inisiatif MyMedSecure selain memperkasa industri farmaseutikal dan peranti perubatan tempatan.
“Krisis tenaga global bukan sahaja menjejaskan sektor minyak dan logistik, malah turut memberi kesan kepada bekalan ubat serta peranti perubatan.
“Gangguan rantaian bekalan boleh menyebabkan kekurangan bahan mentah penting seperti API, petroleum dan gas etilena oksida, sekali gus meningkatkan kos pengilangan dan penghantaran,” katanya dalam taklimat mengenai krisis tenaga global yang disiarkan secara langsung hari ini.

Dalam jangka pendek, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kerajaan akan melaksanakan Laluan Akses Khas bagi memastikan bekalan ubat dan peranti perubatan kritikal sentiasa mencukupi.
Selain itu, kerajaan akan memantau stok ubat secara berpusat, mempelbagaikan sumber import, mengaktifkan pelan gerak balas kecemasan serta menetapkan item tertentu sebagai barangan kawalan.
Beliau berkata semua langkah itu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang berlangsung hari ini.
“Dalam keadaan global yang tidak menentu, kerajaan akan terus bertindak secara tersusun dan menyeluruh bagi melindungi rakyat, memastikan bekalan strategik kekal stabil serta mengekalkan daya tahan ekonomi negara.
“Fokus kita adalah mengurus impak, mengurangkan risiko dan membantu rakyat menghadapi tempoh mencabar ini,” katanya.
Baca juga:








