LONDON: Pihak berkuasa kesihatan United Kingdom (UK) menggesa orang ramai mendapatkan vaksin flu dalam masa dua hari bagi melindungi diri dan mengurangkan tekanan ke atas sistem perkhidmatan kesihatan awam negara itu (NHS) menjelang musim Krismas.
Musim flu tahun ini diserlahkan dengan kehadiran strain baharu influenza A H3N2 “subclade K”, yang menyebabkan kemasukan ke hospital meningkat mendadak.
Data NHS menunjukkan purata 1,717 katil didiami pesakit flu, termasuk 69 di unit rawatan kritikal, 56 peratus lebih tinggi berbanding tahun lepas dan sepuluh kali ganda lebih tinggi daripada 2023.
Dengan vaksin mengambil masa sehingga 14 hari untuk berkesan sepenuhnya, NHS menasihatkan vaksinasi sebelum Khamis, 11 Disember. Vaksin masih dianggap pertahanan terbaik terhadap flu dan penyakit pernafasan lain.
Di London, hospital mencatatkan kemasukan flu tiga kali ganda lebih tinggi berbanding tahun lepas, dengan purata 259 pesakit sehari sejak 24 November.
Memetik laporan The Mirror, Dr Chris Streather, Pengarah Perubatan Kanan NHS London, berkata lebih 1.8 juta orang telah divaksin, tetapi masih ramai golongan berisiko belum mendapatkan suntikan.
Beberapa hospital, termasuk Royal Stoke University Hospital, County Hospital dan hospital di Birmingham, telah mengisytiharkan insiden kritikal akibat tekanan luar biasa.
Staf hospital meminta keluarga membantu mempercepatkan proses keluar pesakit bagi mengekalkan keselamatan dan kelancaran perkhidmatan.
Downing Street menegaskan vaksinasi adalah pertahanan paling berkesan. Setakat ini, hampir 17 juta vaksin flu telah diberikan musim ini, 350,000 lebih banyak berbanding tahun lepas.
Baca juga:








