Kerajaan Umum Bayaran Khas RM500 Kepada Pemegang Pingat Jasa Malaysia

PARLIMEN | Dalam satu penghormatan penuh makna terhadap jasa dan keperwiraan anggota tentera negara khususnya mereka yang pernah menyarung Pingat Jasa Malaysia, kerajaan bersetuju memberikan bayaran khas sebanyak RM500 kepada hampir 120,000 penerima pingat berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu melibatkan peruntukan sebanyak RM60 juta sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan mereka demi tanah air.

“Menghargai pengorbanan dan keperwiraan anggota tentera khususnya pemegang Pingat Jasa Malaysia, kerajaan bersetuju memberikan bayaran khas RM500 kepada hampir 120,000 pemegang Pingat Jasa Malaysia dengan peruntukan RM60 juta,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan turut mengumumkan peluasan pelaksanaan Bantuan Insentif Berasaskan Prestasi kepada Kumpulan Pengurusan dan Profesional dalam perkhidmatan awam Persekutuan.

Anwar berkata, inisiatif itu bertujuan mengiktiraf penjawat awam yang telah lama berkhidmat tetapi masih menunggu peluang kenaikan pangkat akibat kekangan struktur perjawatan.

“Melalui peluasan ini, pegawai yang berada dalam skim perkhidmatan yang kenaikan pangkatnya hanya tertakluk kepada kekosongan jawatan dan telah berkhidmat sekurang-kurangnya enam atau lapan tahun tertakluk kepada gred jawatan semasa serta menunjukkan prestasi yang baik dan cemerlang.

“Mereka akan diberikan insentif khas bersamaan dengan nilai satu Kenaikan Gaji Tahunan pada gred semasa, yang akan dibayar secara bulanan,” katanya.

Anda Mungkin Berminat