Oleh: Kamilia Ali
PARLIMEN: Pemilik tanah di Kampung Bharu, Kuala Lumpur yang membuat permohonan bayaran pampasan telah bersetuju dengan tawaran peningkatan lebih kurang 10 peratus daripada nilaian hartanah oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kementerian Kewangan, kata Dr Zaliha Mustafa.
Menteri Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa keseluruhan tambahan bayaran pampasan tanah berjumlah RM200,000 telah diserahkan kepada pemohon-pemohon yang terlibat.
“Baki bagi dua permohonan lagi masih dalam tindakan pihak Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Bagi lot teres, satu permohonan telah dibicarakan pada Mei 2024 dan mahkamah memutuskan tambahan bayaran pampasan sebanyak RM69,000 atau lebih kurang lapan peratus daripada ‘award’ hartanah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKPTG WPKL) berjumlah RM874,000.
“Manakala baki bagi 61 permohonan melibatkan pemilik lot teres ini masih dalam tindakan pihak AGC,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Dr Zaliha juga menekankan bahawa tawaran usaha sama di antara pemilik dan pemaju adalah berdasarkan rundingan yang dipersetujui bersama tanpa paksaan, tekanan atau desakan.
“Tawaran ini merangkumi unit gantian, kos pindah keluar dan masuk, insentif persetujuan usaha sama, ‘ex-gratia’ ubah suai rumah sedia ada dan bayaran sewaan sementara.
“Pemilik yang bersetuju dengan tawaran usaha sama akan mendapat nilai masa depan (future value), manakala penentuan tawaran pampasan pengambilan tanah adalah berlandaskan perundangan di dalam APT 1960 dan lain-lain peraturan berkaitan dengan nilai pasaran semasa (market value),” jelasnya.
Beliau turut memohon agar semua pihak menghormati proses dan keputusan yang telah dimuktamadkan kerana ia melibatkan peruntukan undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
Baca juga: