Kerajaan Umum Penyelarasan BUDI95, Harga Kekal RM1.99 Seliter

KUALA LUMPUR: Langkah penyelarasan terhadap program subsidi petrol BUDI95 terpaksa dilakukan demi kepentingan rakyat, sambil mengekalkan harga pada kadar RM1.99 seliter kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat dengan penuh teliti dan berhemah, walaupun menyedari akan timbul pelbagai tohmahan dan tafsiran daripada pihak tertentu.

“Ini langkah yang kita ambil, terpaksa ambil kerana tekanan yang kita hadapi dan saya percaya ada yang akan membuat pelbagai tohaman dan tafsiran yang tak boleh kita elak.

“Tapi percayalah, saya tidak mahu rakyat merasa tertekan dan langkah-langkah kita itu sangat teliti dan berhemah,” katanya.

Menurut Anwar, purata penggunaan BUDI95 rakyat Malaysia adalah sekitar 100 liter sebulan, dengan hampir 90 peratus menggunakan kurang daripada 200 liter.

Justeru katanya, kelayakan BUDI95 akan diselaraskan daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan bermula 1 April 2026.

“Untuk meringankan beban rakyat, saya tegaskan BUDI95 kekal pada RM1.99 seliter,” katanya.

Bagi pemandu e-hailing dan pekerja gig, had siling penggunaan dikekalkan sehingga 800 liter sebulan, mengambil kira keperluan pekerjaan mereka.

Dalam masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Sabah dan Sarawak akan terus menikmati diesel subsidi pada kadar RM2.15 seliter walaupun harga pasaran melonjak naik.

Namun, Perdana Menteri menekankan perlunya kawalan rapi bagi mengelakkan ketirisan dan penyeludupan.

Kerajaan turut menetapkan had pengisian diesel mengikut kategori kenderaan iaitu maksimum 50 liter bagi kenderaan ringan persendirian dan awam, 100 liter bagi kenderaan tidak melebihi tiga tan, serta 150 liter bagi kenderaan melebihi tiga tan.

“Ini untuk menjamin dan memastikan agar bekalan ada, dapat diagihkan secara adil dan mencukupi kepada semua.

“Tanpa penyesuaian ini, kita bimbang ada kecenderungan untuk mengumpul dan menyeludup sepertimana telah dikesan selama ini,” jelas beliau.

Perdana Menteri sekali lagi merayu rakyat agar memahami langkah ini.

“Saya mohon rakyat, rakan-rakan memahami langkah ini terpaksa untuk menjaga kepentingan ramai.

“Ia tidak mudah, mungkin sedikit menyusahkan sebahagian rakyat.

“Saya mohon pengertian dan kerjasama supaya dapat kita teruskan kerja untuk mengelak daripada ketirisan ini,” katanya.

Anda Mungkin Berminat