Kerajaan usahakan rayuan 85,000 jemaah haji Malaysia – Mohd Na’im

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan berputus asa memperjuangkan rayuan lebih 85,000 pendeposit Tabung Haji yang ingin menunaikan haji pada tahun ini tetapi masih belum mendapat giliran.

Menurut beliau, kuota haji Malaysia bagi musim 2025 telah pun dipenuhi sepenuhnya dan walau bagaimanapun, kekosongan yang mungkin wujud akibat faktor seperti kesihatan atau halangan lain akan diberikan kepada pemohon daripada senarai rayuan.

“Yang telah dapat giliran untuk tahun 2025 ini, kota (kuota) telah dipenuhi.

“Jadi kalau ada yang menolak, contohnya atas sebab-sebab tertentu seperti sakit dan tak dapat pergi, yang rayuan 85,000 inilah yang akan isi jumlah kekosongan itu,” katanya.

Mohd Na’im turut menggambarkan situasi itu sebagai cerminan semangat tinggi rakyat Malaysia yang amat mengutamakan peluang untuk menunaikan ibadah haji.

“Rakyat kita memang bersungguh-sungguh, berdoa dan sangat mengharapkan untuk menunaikan haji.

“Jadi perkara ini bukan hanya berlaku tahun ini, tapi saya percaya pada tahun-tahun akan datang pun situasinya sama,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menegaskan komitmen kerajaan untuk terus membuat tindakan susulan dengan kerajaan Arab Saudi bagi memastikan rayuan tambahan kuota haji diberi perhatian demi memenuhi impian rakyat Malaysia yang ingin mengerjakan rukun Islam kelima itu.

Anda Mungkin Berminat