Kerangka ABE langkah berani Anwar terajui ASEAN – Nazir Razak

KUALA LUMPUR: Langkah berani Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkenalkan status Entiti Perniagaan ASEAN (ASEAN Business Entity – ABE) menerusi Belanjawan 2026 disifatkan sebagai bukti komitmen teguh kerajaan dalam memperkukuh integrasi ekonomi serantau serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pintu gerbang utama ke ASEAN.

Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) Malaysia, Tan Sri Nazir Razak, memuji inisiatif tersebut dan menyifatkannya sebagai satu langkah strategik yang mampu menarik lebih banyak Jaguh ASEAN untuk beroperasi dan berpangkalan di Malaysia.

“Adalah menggembirakan apabila menyaksikan Malaysia menerajui usaha memperkenalkan kerangka Entiti Perniagaan ASEAN (ABE). Ini merupakan satu langkah berani oleh pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi ASEAN 2025,” katanya, memetik Bernama pada Sabtu.

Nazir, yang juga individu pertama mencadangkan idea ABE melalui ASEAN-BAC, berkata status istimewa itu akan memberi ruang kepada syarikat tersenarai awam dan syarikat bersaiz sederhana untuk mengembangkan operasi mereka di rantau Asia Tenggara dengan lebih fleksibel dan bersepadu.

Menurut beliau, walaupun tumpuan awal ABE adalah untuk memudah cara aliran bakat merentas sempadan ASEAN, kerangka ini berpotensi diperluas bagi melancarkan aliran modal dan operasi korporat di seluruh rantau ini.

“Status ABE akan mengurangkan masalah dis-synergies dalam kalangan syarikat multinasional ASEAN serta menggalakkan pembangunan rantaian bekalan intra-ASEAN, sekaligus menjadikan rantau ini lebih bersepadu dari segi ekonomi,” katanya.

Tambahnya, inisiatif ini diharap dapat membuka jalan kepada lebih banyak syarikat serantau memilih Malaysia sebagai pangkalan operasi utama, seterusnya mendorong negara anggota ASEAN lain mengikuti langkah sama untuk menjadikan rantau ini pangkalan pengeluaran tunggal bagi perniagaan ASEAN.

Ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, status ABE akan diselaraskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi memudahkan pergerakan bakat mahir serta menyokong pertumbuhan syarikat tempatan di rantau ASEAN.

Status itu akan diberikan kepada syarikat senaraian awam yang mempunyai jejak pasaran meluas di ASEAN serta syarikat pertengahan yang berpotensi untuk mengembangkan operasi serantau.

Belanjawan 2026 yang dibentangkan berjumlah RM470 bilion, dengan RM419.2 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan kerajaan. Daripada jumlah itu, RM338.2 bilion disalurkan untuk perbelanjaan mengurus (OE), manakala RM81 bilion bagi perbelanjaan pembangunan (DE).

Belanjawan bertemakan “Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat” itu merupakan edisi keempat dalam siri Belanjawan MADANI serta yang pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026–2030, yang menumpukan kepada pertumbuhan inklusif dan daya saing serantau Malaysia.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat