BANGI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan supaya projek ternakan babi berpusat di Bukit Tagar, Selangor yang menimbulkan keresahan masyarakat setempat dibatalkan terlebih dahulu atau dipindahkan ke kawasan lain yang lebih sesuai.
Anwar berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagi mencari penyelesaian terbaik berhubung isu berkenaan.
Menurutnya, perkara itu turut dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikannya hari ini susulan kebimbangan rakyat terhadap pelaksanaan projek tersebut.
“Saya akan berbincang dengan Menteri Besar Selangor dan memberi pandangan supaya, jika boleh, projek itu dibatalkan dahulu dan dipertimbangkan lokasi lain yang lebih baik dengan syarat penggunaan teknologi yang benar-benar terjamin.
“Walaupun teknologinya terbaik, tetapi jika kawasan itu menimbulkan kesan dan keresahan kepada penduduk, maka tidak wajar untuk diteruskan,” katanya, seperti dipetik Bernama pada Jumaat.

Perdana Menteri berkata, meskipun isu itu berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri Selangor, Kerajaan Persekutuan tetap mengambil perhatian serius kerana ia melibatkan keresahan awam.
“Kita tidak boleh memandang ringan isu ini dan menganggap ia boleh diselesaikan dengan mudah,” katanya.
Sebelum ini, Amirudin dilaporkan berkata Kerajaan Negeri Selangor masih belum mengenal pasti lokasi alternatif bagi menggantikan Bukit Tagar sebagai tapak baharu pemindahan ladang ternakan babi berpusat di negeri itu.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan negeri kekal terbuka dan bersedia mengadakan perbincangan dengan semua pihak bagi memastikan pelaksanaan sistem penternakan yang lebih teratur dan komprehensif.
Pada 10 Januari lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita serta tidak bersetuju dengan perancangan kerajaan negeri yang membenarkan operasi sementara penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat bermula tahun ini sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.
Baginda bertitah pihak istana tidak bersetuju dengan perancangan itu, khususnya berikutan kemungkinan pengenalan penternakan babi berskala besar dan berorientasikan eksport ke luar negara.
Baca juga:







