SRI AMAN: Sebuah Toyota Hilux berwarna merah yang dinaiki tiga sekeluarga terlibat dalam kemalangan kendiri di Jalan Bukit Begunan, laluan menghubungkan Sri Aman ke Serian sehingga mengakibatkan kenderaan tersebut terbalik.
Menurut Komander Operasi, PBK I Noor Faqriakmal Jamari, insiden yang berlaku petang semalam itu melibatkan seorang suami, isteri dan seorang anak.
Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa berjaya keluar dari kenderaan terbalik tersebut selepas mendapat bantuan pantas dari orang awam yang berada di lokasi.
Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman bertindak melakukan penilaian awal dengan menggunakan PPE lengkap.
Tambah Noor Faqriakmal, rawatan awal diberikan sebelum pasukan EMRS menghantar dua mangsa, iaitu seorang kanak-kanak dan seorang wanita ke Hospital Sri Aman II untuk rawatan lanjut.
“Ketiga-tiga mangsa telah berjaya keluar dari kenderaan tersebut setelah dibantu oleh orang awam,” jelasnya.
Difahamkan, tiada operasi penyelamatan khas dijalankan kerana keadaan telah dikawal.
Pasukan bomba kemudiannya kembali ke balai setelah memastikan lokasi selamat.
Mangsa telah diserahkan kepada pihak hospital tepat pukul 7.40 malam.








