Keretapi sarong atau keretapi songsang?

Oleh: Muhammad Firdaus Zalani

ULASAN | Sungguh kecewa saya sebagai seorang Melayu Islam melihat mereka yang bercakap tentang budaya dan adat Melayu sambil terkinja-kinja menari dan berjoget. Sambil berpakaian ketat dan bercampur lelaki perempuan tanpa batasan kononnya atas nama identiti bangsa.

Apa yang mereka faham tentang adat? Apa yang mereka faham tentang identiti bangsa yang mulia ini

Perlu difahami, identiti ketamadunan bangsa Melayu bukan bermula pada pakaian, tetapi ia berakar pada pembetukan falsafah pemikiran (worldview) Islam yang kemudiannya dizahirkan pada pelbagai bentuk meliputi aspek adat, seni dan budaya. Usaha inilah yang dilakukan bergenarasi nenek moyang kita sama ada dalam menyemai atau memeliharanya.

Inilah yang mendasari identiti perjuangan bangsa Melayu dalam sejarah. Penentangan terhadap penjajah (Tok Janggut, Mat Kilau, Dato Bahaman dsb), mempertahankan aqidah (jihad Acheh, Natrah dsb), membersihkan dari amalan khurafat dsb yang menjadi gerak daya bangsa selama ini adalah didasari worldview ini.

Penjalanan panjang ini yang mendasari akhirnya penyatuan identiti Melayu adalah Islam diiktiraf dalam perlembagaan.

Penjajajahan Baharu

Sungguh hina bagi kita, takkanlah perkara yang gagal dilakukan oleh penjajah selama lebih 400 tahun dalam memisahkan identiti Melayu dan Islam namun akhirnya tangan bangsa ini atas kebodohannya melakukan hal ini.

Jika ini sedang berlaku, penjajajahan baharu (neo imperialisme, epistemicide) memberi kesan lebih mendalam terhadap bangsa yang dijajah sampai pada identiti dan cara fikir berbanding penjajahan fizikal sebelum ini.

Keadaan ini mengingatkan saya akan kata Hamka dalam Kenangan Kenangaku di Malaya yang ditulis sempena kemerdekaan Malaysia 1957 tentang cabaran pasca kemerdekaan. Baginya ancaman terbesar yang bakal muncul adalah usaha memisahkan identiti Melayu dan Islam.

Ini yang sedang beliau saksikan berlaku di Indonesia ketika itu apabila terdapat usaha mengangkat identiti pra Islam (hindu, jawa) ie dalam penamaan Jakarta dan sebagainya sebagai identiti negara menggantikan identiti Islam.

Apa yang kita saksikan dalam penganjuran ‘event’ ini adalah mereka yang pemikiran dan budayanya adalah hedonisme Barat namun cuba disarung atau dipakaikan (tazyin) dengan bangsa Melayu.

Hakikatnya usaha mereka sebenarnya sedang ‘membunuh’ identiti Melayu Islam menggunakan atas nama Melayu itu sendiri.

Usah Normalisasi

Saya tidak pasti penganjuran seperti ini terbit dari kejahilan dalam mengenal erti adat dan budaya atau sebenarnya usaha terancang merubah identiti ini.

Apa pun keadaannya kita sebagai bangsa Melayu Islam perlu menzahirkan penolakan terhadap normalisasi seperti ini.

Sepatutnya pasca 68 tahun kemerdekaan, identiti Melayu Islam ini semakin utuh dan kukuh, semakin mendasari agenda pembangunan negara bukan semakin dicantas serta disongsangkan mengikut selera atau kemahuan asing.

Atau mungkin kita sebenarnya belum mencapai kemerdekaan hakiki?

***Penulis adalah Pengarah Pusat Kajian Pemikiran dan Peradaban Ummah (PEMIKIR)

Anda Mungkin Berminat