Kerjasama ASEAN-GCC, Fokus Hari Kedua Sidang Kemuncak ASEAN 2025

PETALING JAYA: Sidang hari kedua ASEAN 2025 hari ini akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama strategik bersama rakan serantau dan global, menerusi penganjuran dua sidang kemuncak penting.

Menurut Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Tunku Abaidah, dua sidang itu adalah Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 serta Sidang Kemuncak Trilateral ASEAN-GCC-China yang julung kali diadakan.

“Kedua-dua sidang ini akan membincangkan langkah konkrit untuk memperluas kerjasama dalam perdagangan, pelaburan dan pembangunan mampan, selaras dengan aspirasi ASEAN untuk memainkan peranan lebih besar dalam landskap geoekonomi Indo-Pasifik,” katanya dalam video Taklimat Pejabat Perdana Menteri (PMO) Sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Facebook, pada Selasa.

Dalam kenyataan sama, kata beliau, turut berlangsung hari ini ialah 16th Brunei Darussalam – Indonesia – Malaysia – Philippines East ASEAN Growth Area (BIMP-EAGA) Summit dan 16th Indonesia – Malaysia – Thailand Growth Triangle Summit (IMT-GT).

Jelas Tunku Nashrul, kedua-dua sidang itu bertujuan memperkemas agenda pembangunan sub-rantau serta mengukuhkan keterhubungan rentas sempadan dalam kalangan negara-negara yang terlibat.

“Dengan tumpuan kepada sidang-sidang penting seperti ASEAN-GCC dan ASEAN-GCCChina, serta kerjasama sub-rantau melalui BIMP-EAGA dan IMT-GT, Malaysia komited untuk memastikan bahawa Kepengerusian ASEAN 2025 terus menghasilkan keputusan yang bermakna, berpaksikan prinsip dan memberi kesan langsung kepada rakyat ASEAN.

“Melihat kepada kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 ini, kita harus
berbangga mempunyai pasukan yang komited untuk mengharumkan nama negara dan
membawa pulangan hasil yang terbaik buat rakyat keseluruhannya,” ujar beliau.

Semalam, Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 telah bermula secara rasmi dengan pemimpin Asia Tenggara berhimpun di ibu negara.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 diadakan dengan tema Pengerusi ASEAN 2025 oleh Malaysia, iaitu ‘Keterangkuman dan Kemampanan.’

Tahun ini adalah kali kelima Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Anda Mungkin Berminat