Kerjasama erat antara sektor kerajaan dan swasta amat penting untuk mencapai penjagaan kesihatan berasaskan nilai dalam menangani cabaran kesihatan global yang dihadapi pada masa kini.
Perkara tersebut disampaikan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang turut menyatakan perkembangan kerjasama antara kedua-dua sektor terbabit yang menunjukkan peningkatan positif dalam aspek kesihatan.
“Antara kerjasama yang menunjukkan perkembangan yang positif termasuk Program Healthcare Equity for Affordable and Rapid Treatment (HEART) oleh Pusat Perubatan Management and Science University (MSU) umpamanya telah mengurangkan beban kesesakan di hospital kerajaan.
“Pelancaran Sunway Centre for Planetary Health baru-baru ini juga mencerminkan kepentingan pendekatan ‘whole-of-planet‘ dalam menangani cabaran kesihatan global seperti perubahan iklim, kerintangan antimikrob dan pandemik,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dzulkefly turut menekankan bahawa kerjasama yang menekankan agenda ‘One Health‘ yang memperjuangkan hak asasi manusia yang memerlukan khidmat kesihatan yang sepatutnya diterima oleh mereka.
Dalam pada itu, beliau menyatakan dasar-dasar utama seperti Sihat Bersama 2030 dan Agenda Nasional Malaysia Sihat perlu ditetapkan matlamatnya dengan jelas berasaskan nilai dan tadbir urus klinikal yang menjadi tunjang utama dalam transformasi penyampaian penjagaan kesihatan dan menjamin akses yang saksama.

Dzulkefly berkata demikian ketika hadir untuk melancarkan Malaysia International Healthcare Megatrends (MIH Megatrends) 2024 dan menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kementerian Kesihatan Malaysia dan KPJ Healthcare Berhad.
Beliau turut menyatakan harapan agar MIH Megatrends 2024 akan menjadi platform yang dinamik untuk interaksi, rangkaian dan pertukaran idea dalam kalangan pakar dan pemimpin industri.
Baca juga:








