Kerjasama MPT–Zoo Tennoji tertakluk undang-undang, tidak didedah kepada umum

TAIPING: Majlis Perbandaran Taiping (MPT) menegaskan bahawa salinan penuh perjanjian kerjasama antara MPT dan Zoo Tennoji, Jepun tidak boleh didedahkan kepada umum.

Ia susulan dokumen berkenaan merupakan dokumen rasmi kerajaan yang tertakluk kepada peruntukan undang-undang serta obligasi profesional.

MPT berkata, isu ketiadaan dokumen itu telah menimbulkan pelbagai persepsi, namun ia tidak menunjukkan wujudnya masalah ketelusan dalam pengurusan pihak berkuasa tempatan tersebut.

“Perjanjian itu merupakan dokumen rasmi yang tertakluk kepada aspek perundangan serta obligasi profesional yang perlu dihormati oleh kedua-dua pihak,” menurut kenyataan itu pada Rabu.

Menurut MPT, walaupun dokumen penuh tidak boleh didedahkan secara umum, pihaknya bersedia memberi kerjasama kepada mana-mana pihak berkuasa siasatan yang memerlukan akses kepada perjanjian tersebut.

Jelasnya lagi, inti pati utama perjanjian telah pun dikongsikan melalui pelbagai saluran termasuk kenyataan media serta sesi penerangan kepada pihak berkepentingan dari semasa ke semasa.

“Pada masa yang sama, MPT sentiasa bersedia memberi kerjasama kepada mana-mana pihak berkuasa siasatan yang memerlukan akses kepada dokumen perjanjian berkenan,” kata kenyataan itu lagi.

Perjanjian itu dirangka berdasarkan penelitian menyeluruh melibatkan aspek kebajikan haiwan, konservasi, perundangan serta amalan terbaik antarabangsa.

Tambah MPT, Ia turut merujuk kepada Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Terdahulu, Tiga gajah Malaysia iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK) yang kini ditempatkan di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun dilaporkan akan berada di lokasi tersebut selama 25 tahun selari dengan perjanjian yang telah dimeterai pada 2022.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat