KUALA LUMPUR: Malaysia mengalu-alukan pelaburan berterusan syarikat-syarikat China dalam bidang digital, semikonduktor dan teknologi hijau, seiring aspirasi kita untuk menjadi hab inovasi utama ASEAN.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian dalam pertemuan bersama Perdana Menteri China Li Qiang pada Selasa.
Jelasnya pertemuan ini memperkukuh lagi persahabatan erat Malaysia–China berteraskan kepercayaan dan saling menghormati serta simbol hubungan dua hala yang semakin kukuh dan berpaksikan kestabilan serantau.
“Perbincangan kami tertumpu kepada pengukuhan perdagangan dan pelaburan dua hala. Malaysia komited memperluas eksport bernilai tinggi dalam sektor E&E, aeroangkasa, perubatan, tenaga boleh diperbaharui dan minyak & gas di bawah kerangka Pelan Kerjasama BRI.
“Saya turut menekankan kepentingan projek seperti Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) di Tanjung Malim hasil kerjasama Proton dan Geely, selain peluasan ECRL dan kerjasama pelabuhan antara Malaysia dan China yang bakal memperkukuh kedudukan negara sebagai hab logistik dan maritim serantau,” katanya lagi.
Anwar turut menyatakan pertemuan itu turut menyentuh Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dan Thailand dengan Li menzahirkan sokongan China terhadap usaha damai yang dimeterai sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 ini.
“China juga menyatakan komitmen berterusan untuk membantu merungkai krisis di Myanmar, khususnya dalam memastikan gencatan senjata dikekalkan serta membawa semua pihak kembali ke meja rundingan demi keamanan dan kemakmuran rantau ini,” katanya.
Terdahulu, Anwar menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN-China yang dinaik taraf (ACFTA 3.0) antara Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, bersama Li Qiang sendiri.
Baca juga:








