SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor menyambut baik pengumuman Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berhubung persetujuan lokasi tapak bagi pembinaan Hospital Awam Petaling Jaya.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu lahir daripada mesyuarat penyelarasan pada 14 Mei 2026 yang melibatkan agensi persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan.
Menurut beliau, pengumuman itu dianggap sebagai bukti kerjasama erat antara kerajaan negeri dan persekutuan dalam menangani isu kesihatan awam.
“Pengumuman tersebut memperlihatkan kerjasama utuh peranan kedua belah pihak serta memberikan pencerahan kepada kaedah Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri mencapai kata putus perihal kesihatan awam khususnya dalam aspek pembinaan serta pengoperasian hospital seperti yang termaktub dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan,” menurutnya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Amirudin berkata, sejak 2018, usaha mencari tapak hospital awam di Petaling Jaya digerakkan secara aktif oleh kerajaan negeri, mengambil kira jumlah penduduk Daerah Petaling yang kini mencecah 2.3 juta orang termasuk lebih 800,000 di Petaling Jaya sahaja.
Buat masa ini katanya, penduduk bergantung kepada Hospital Sungai Buloh (1,037 katil), Hospital Shah Alam (490 katil) dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (946 katil).
Kerajaan Negeri turut bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mengatasi isu kesesakan hospital awam di seluruh Selangor.
Hospital Cyberjaya (288 katil) dan Hospital Tanjong Karang (150 katil) telah siap pada 2022, manakala Hospital Kapar dengan kapasiti 312 katil dijadualkan siap akhir tahun ini.
Lokasi tapak Hospital Petaling Jaya yang dipersetujui KKM dianggap strategik kerana memenuhi keperluan penduduk dari segi akses, kos tanah dan jarak.
Hospital baharu itu bakal menampung 500 katil dengan konsep vertikal seperti Hospital Ampang, sekali gus mengoptimumkan penggunaan tanah dan kos pembinaan.
Lawatan tapak akan dilaksanakan segera oleh KKM minggu ini bersama agensi kerajaan negeri termasuk Unit Perancang Ekonomi Negeri, Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Pejabat Daerah Petaling.
“Kerajaan Negeri Selangor bersedia memudahcara dan menyegerakan proses urusan tanah supaya pembinaan Hospital Petaling Jaya oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dapat membawa manfaat penduduk Daerah Petaling khususnya Petaling Jaya, Subang Jaya, dan Puchong,” katanya.








