Kerjasama Serantau Diperkukuh: Malaysia aktif dalam usaha damai, perdagangan ASEAN

PETALING JAYA: Di sebalik jadual mesyuarat yang padat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa meluangkan masa untuk mengadakan perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Manet dan Singapura, Lawrence Wong.

Perbualan itu memberi tumpuan kepada isu-isu penting serantau yang mencerminkan keprihatinan dan kepemimpinan Malaysia dalam rantau ASEAN.

Dalam perbincangan itu, Perdana Menteri berkongsi kemajuan penting daripada pertemuannya di Bangkok baru-baru ini bersama Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara (SAC) Myanmar dan Mahn Win Khaing Than dari Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar.

Kedua-dua Perdana Menteri, Hun Manet dan Lawrence Wong, menyuarakan sokongan terhadap usaha ini.

“Kedua-dua Perdana Menteri menyuarakan sokongan dan menyambut baik pertemuan ini, yang dilihat sebagai kemajuan penting ke arah usaha damai yang berkekalan di Myanmar,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurutnya, Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN terus komited untuk memainkan peranan aktif dalam menjamin keselamatan petugas kemanusiaan serta membawa keamanan kepada rakyat Myanmar melalui dialog berterusan dengan semua pihak berkepentingan.

Selain isu Myanmar, Anwar berkata, perbincangan turut menjurus kepada perkembangan perdagangan serantau terutama yang melibatkan tarif balas dikenakan Amerika Syarikat (AS).

Beliau memaklumkan bahawa Malaysia telah mengambil tindakan proaktif dengan menghantar Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi mencari penyelesaian yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

“Malaysia mengambil kesempatan untuk memohon AS memberikan ruang kepada semua negara ASEAN untuk mengusahakan penyelesaian melalui mekanisme hubungan dua hala masing-masing,” ujar Perdana Menteri.

Beliau turut menyeru AS untuk melihat ASEAN sebagai entiti kohesif dalam isu tarif dan dasar perdagangan lain sambil menekankan pentingnya kerjasama perdagangan sebagai pemacu kemakmuran bersama.

Dengan semangat persahabatan dan prinsip kepusatan ASEAN, Malaysia yakin bahawa usaha ini mampu membawa keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan kepada seluruh rantau.

“Berpaksikan semangat persahabatan dan prinsip kepusatan ASEAN, saya percaya usaha bersama ini akan melimpahkan keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan buat rakyat di seluruh rantau ini, Insya-Allah,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat