ROME: Malaysia bakal meraih manfaat besar hasil daripada kerjasama strategik dengan syarikat-syarikat utama dari Itali, membabitkan potensi pelaburan sebanyak RM8.13 bilion dan potensi eksport berjumlah RM425 juta.
Kerjasama ini memberi tumpuan kepada sektor-sektor berimpak tinggi seperti pembuatan berteknologi tinggi, tenaga boleh baharu dan ekonomi digital, sekali gus membuka dimensi baharu dalam pemerkasaan ekonomi negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, inisiatif ini sejajar dengan misi Malaysia untuk memperkukuh daya saing di peringkat global, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti serta merancakkan pertumbuhan ekonomi inklusif selari dengan kerangka Ekonomi MADANI.
“Kerjasama ini merupakan bukti keyakinan pelabur asing terhadap potensi ekonomi Malaysia.
“Dengan penglibatan syarikat-syarikat Itali dalam sektor strategik, kita dapat mempercepatkan transformasi ekonomi negara dan memposisikan Malaysia sebagai hab pelaburan serantau,” katanya.
Inisiatif ini turut mencerminkan keberhasilan lawatan rasmi dan hubungan dua hala yang semakin kukuh antara Malaysia dan Itali, sekali gus memperluas jaringan kerjasama perdagangan dan pelaburan masa depan.