Penggunaan kertas ruqyah bagi tujuan untuk merawat penyakit membabitkan gangguan mistik yang aktif digunakan oleh segelintir penduduk di Indonesia, tular di media sosial baru-baru ini.
Perkara itu secara tidak langsung mewujudkan kebimbangan dalam kalangan pengguna media sosial sehingga ada antara mereka yang berpendapat bahawa perkara itu bertentangan dengan ajaran Islam.
Bagaimanapun, menurut penjelasan Pendakwah Indonesia, Abdul Somad Batubara, terdapat beberapa fahaman Islam yang menjelaskan tentang perkara itu iaitu pandangan ilmuan Ibnu Taimiyah dan Abdullah Abbas.
Katanya, Ibnu Taimiyah mengatakan, sekiranya ayat tersebut ditulis di kertas atau cawan dengan dakwat yang tidak beracun, kemudian dituangkan ke dalam bekas minuman dengan tujuan untuk ikhtiar, hal itu dibolehkan.
“Mengikut pandangan Abdullah Abbas, menulis ayat Al-Quran di atas kertas atau cawan dengan dakwat yang tidak mendatangkan kemudaratan, maka ia boleh diminum.
“Tetapi, ayat yang itu gunakan perlulah bersesuaian dengan mengikut keadaan agar tidak bertentangan dengan agama,” katanya dalam satu rakaman video di TikTok.
Tambahnya, penggunaan ayat yang ditulis mestilah sahih mengikut apa yang ada di dalam Al-Quran seperti firman Allah SWT menerusi surah Al-Israa ayat 82, maksdunya: “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.”
“Ayat yang ditulis semestinya sahih mengikut apa yang ada di dalam Al-Quran kerana turunnya Al-Quran adalah untuk syifa (ubat),” katanya.
Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Sri Abdul Rahman Osman, menjelaskan, amalan menulis ayat Al-Quran di atas kertas lalu direndam dan diminum airnya adalah benar.
Namun, hanya dengan menggunakan dakwat jenis saffron yang boleh dimakan atau minum.
Bagaiamanapun perbuatan tersebut hanya dibenarkan sebagai ikhtiar untuk merawat penyakit dan bukanlah, untuk diniagakan kerana, menurut sudut pandang agama Islam, ayat Al-Quran tidak dibenarkan untuk dilabelkan sekali gus dijual.
“Perbuatan menjual kertas ruqyah tersebut dikhuatiri akan memberi kesan buruk jika dilakukan dengan cara yang salah, dan bimbang sekiranyan ia boleh menimbulkan fitnah dan syak wasangka dikalangan masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mohon agar perniagaan kertas ruqyah itu perlu diperhalusi oleh jawatankuasa fatwa seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sekiranya mahu dibawa ke dalam negara agar tidak disalahguna atau disalah tafsir oleh masyarakat Islam.
Baca juga: