JOHOR BAHRU: Berbaki dua hari lagi sebelum berlangsungnya Kongres Nasional PKR tahun ini, dewan utama Persada Johor International Convention Centre kini sibuk dengan persiapan rapi.
Antara yang mencuri tumpuan adalah susunan kerusi berwarna hitam yang mendominasi ruang dewan, memberikan simbolik tertentu terhadap nada dan semangat kongres kali ini.
Tinjauan Malaysia Bangkit juga mendapati, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan kawalan di luar bangunan.
Dengan persiapan yang hampir sempurna, perhatian kini tertumpu kepada naratif dan semangat yang akan dibawa oleh para perwakilan.
Kongres Nasional PKR akan bermula dengan perasmian serentak Kongres AMK dan Wanita, pada 8 malam esok.

la akan disusuli dengan Kongres AMK dan Wanita serta pemilihan kepimpinan pusat pada pagi Jumaat, sebelum ucapan dasar Presiden merangkap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sekali gus merasmikan Kongres Nasional PKR pada sebelah malam.
Kongres seterusnya diteruskan pada Sabtu dengan sesi perbahasan, penggulungan oleh kepimpinan parti serta pengumuman keputusan pemilihan bagi kepimpinan pusat sesi 2025-2028.
Pemilihan kali ini menyaksikan seramai 251 calon menawarkan diri untuk bertanding bagi pelbagai jawatan peringkat pusat, merangkumi 104 pencalonan bagi Majlis Pimpinan Pusat (MPP), 85 calon bagi Majlis Pimpinan AMK dan 62 calon bagi Majlis Pimpinan Wanita.
Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh sebelum ini memaklumkan, proses pengundian itu akan melibatkan lebih 30,000 perwakilan.
“Daripada jumlah itu, ia melibatkan lebih 9,000 perwakilan yang akan mengundi secara fizikal manakala selebihnya akan mengundi secara dalam talian,” katanya.
Menurut Fuziah, pengundian fizikal bagi perwakilan yang hadir pada kongres itu akan berlangsung di Berjaya Waterfront Hotel dan Pusat Konvensyen Danga Bay di sini.
Baca juga: