KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki hari ini menzahirkan penghargaan serta ucapan tahniah kepada pegawai penyiasat dan pasukan pendakwaan susulan keputusan mahkamah dalam kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion melibatkan Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata, pegawai penyiasat dan pasukan pendakwaan telah bekerja tanpa mengenal penat lelah sejak siasatan kes 1MDB bermula pada Julai 2015 sehingga keputusan penghakiman diumumkan.
Menurutnya, penghargaan itu diberikan sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan ketekunan luar biasa pegawai penyiasat, khususnya dalam mengumpul keterangan serta bukti, sama ada di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.
“Siasatan ini berdepan pelbagai cabaran dari segi perundangan, teknikal dan bidang kuasa.
“Namun begitu, pasukan penyiasat kekal beriltizam untuk memenuhi piawaian perundangan yang ketat bagi memastikan kes ini dapat dibawa ke mahkamah dan dibicarakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Azam turut merakamkan penghargaan ikhlas kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama sepanjang tempoh siasatan, terutamanya Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Baca juga:








