Kes 1MDB: BERSIH sambut baik keputusan mahkamah

Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

BERSIH melihat perkembangan tersebut sebagai bukti kesalahan dalam salah urus dana awam yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan negara tetapi akhirnya membawa kepada beban hutang besar yang perlu ditanggung rakyat.

“Walaupun proses perundangan belum selesai, keputusan ini menegaskan kewujudan salah laku dalam 1MDB,” kata kenyataan BERSIH pada Rabu.

BERSIH menegaskan bahawa Najib perlu terus menjalani hukuman penjara seperti sabitan kes SRC International tanpa sebarang bentuk kompromi seperti tahanan rumah.

“Sebarang kompromi akan menonjolkan ketidakadilan dan mengukuhkan persepsi wujudnya dua darjat dalam sistem keadilan negara,” tambah kenyataan tersebut.

Selain itu, BERSIH mengingatkan Kerajaan Perpaduan bahawa kes seperti 1MDB dan SRC adalah akibat daripada kelemahan dalam institusi penguatkuasaan undang-undang.

BERSIH turut menggesa reformasi institusi dilaksanakan segera, termasuk pemisahan fungsi peguam negara dan pendakwa raya serta reformasi dalam pelantikan ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Reformasi ini perlu dilakukan segera bagi mengelakkan sejarah 1MDB berulang,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat