Kes Abang Bas: Nancy ucap terima kasih atas keprihatinan

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri merakamkan penghargaan terima kasih kepada pihak berkuasa dan orang ramai yang terlibat dalam laporan terhadap seorang pemandu bas sekolah yang merakam video kanak-kanak dalam kenderaan tersebut hingga tular di media sosial.

Katanya, keselamatan kanak-kanak adalah tanggungjawab bersama dan mereka perlu dilindungi dalam apa jua keadaan.

“Terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) atas tindakan yang laju dan pantas.

“Terima kasih juga kepada semua yang telah membantu membuat laporan, tag dan memberi info mengenai isu ini,” ciapnya di aplikasi X pada Jumaat.

Terdahulu, tular di aplikasi TikTok mengenai seorang pemandu bas sekolah menggelar seorang penumpang bas yang dipercayai pelajar sekolah rendah sebagai orang yang disukainya atau ‘crush’.

Hantaran itu kemudian mendapat kecaman orang ramai yang berpendapat kandungan seperti itu tidak sesuai dan boleh dianggap sebagai gangguan seksual terhadap kanak-kanak.

Susulan itu, polis menahan pemandu berusia 24 tahun itu kira-kira jam 2.57 pagi tadi di Simpang Renggam, Johor Bahru.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, polis turut merampas telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk memuatnaik hantaran berkenaan di akaun media sosialnya.

Beliau berkata, siasatan terperinci sedang dijalankan dan polis mengalu-alukan kerjasama daripada ibu bapa kanak-kanak yang terdapat dalam rakaman video itu supaya tampil bagi membantu siasatan.

Anda Mungkin Berminat