Kes amang seksual Naim Daniel bicara tiga hari pada Disember

PUTRAJAYA: Perbicaraan kes pelakon dan penyanyi terkenal, Naim Daniel berhubung pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan ditetapkan berlangsung selama tiga hari pada Disember ini.

Hakim Mahkamah Sesyen, M Kunasundary menetapkan tarikh perbicaraan pada 15, 16 dan 18 Disember selepas prosiding pengurusan kes pada Jumaat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khadijah Amir Hamdzah mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.

Naim atau nama sebenarnya, Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun pada 19 Mei lalu.

Mengikut pertuduhan, selebriti itu didakwa melakukan perbuatan terbabit di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor, sekitar jam 8.56 malam.

Jika sabit kesalahan, beliau berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Peguam bela, Mohd Irwan Sumadi memberitahu pemberita bahawa pihaknya telah mengemukakan permohonan rasmi kepada pendakwaan agar mangsa memberi keterangan melalui pautan video.

“Semasa perbicaraan nanti, mangsa bukan lagi berumur bawah 18 tahun, maka keterangan perlu dibicarakan secara biasa,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat