Kes Buli: Tindakan Tegas Menanti Pengetua, Pengarah

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat Malaysia (MARA), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap pengurusan tertinggi institusi pendidikan MARA jika ada usaha menutup kes-kes buli yang berlaku.

Beliau menegaskan bahawa sebarang kes buli yang disorokkan akan membawa kepada tindakan tegas termasuk menukar pengetua dan Pengarah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) atau Institut Pendidikan MARA (IPMa) terbabit.

“Jangan sesekali ada IPMa termasuk MRSM yang sorok kes buli.

“Jika saya dapat maklumat ada usaha sorok dan tutup kes berkaitan buli walau apa jua alasan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi telah arahkan ambil tindakan ke atas Pengetua terbabit.

“Saya sudah tegaskan tiada kompromi terhadap pembuli tak kira anak pembesar atau orang kenamaan berpengaruh sekali pun jika didapati membuli, mereka tiada tempat di IPMa,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Sebelum ini, Asyraf Wajdi telah menegaskan beliau tidak akan berkompromi terhadap pelaku buli di mana-mana institusi pendidikan MARA.

Baru-baru ini, dua kes buli dilaporkan berlaku di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Kejadian terbaru yang dilaporkan tahun ini adalah pada 2 November lalu, apabila polis mengesahkan seorang pegawai kadet di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) UPNM ditekap seterika pada bahagian dada ketika disuruh menggosok baju kerja milik seniornya dalam kejadian di bilik asrama pada 22 Oktober lalu.

Sehingga kini, seramai 16 individu telah direkod percakapan termasuk pengadu, suspek, pegawai kadet yang lain, staf, jurulatih dan pegawai perubatan.

Pada Ahad, seorang lagi penuntut tahun satu UPNM dilaporkan mengalami kecederaan parah akibat keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang selepas dipijak seorang penuntut tahun tiga, universiti berkenaan.

Kejadian dilaporkan berlaku pada pukul 10.45 malam 21 Oktober lalu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat