Oleh: Hanim Nadia
KUALA LUMPUR: (KEMASKINI) Pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas satu pertuduhan mencederakan juniornya, menggunakan seterika pada 22 Oktober lalu.
Amirul Iskandar Ahmad Norhanizan, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Egusra Ali.
“Saya mengaku tidak bersalah, mohon dibicarakan,” katanya.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap juniornya yang berusia 20 tahun, menggunakan seterika wap panas di sebuah bilik asrama universiti berkenaan pada jam 11.45 malam, 22 Oktober lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.
Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 27 Disember depan untuk sebutan semula kes.
Tertuduh juga diberi syarat untuk tidak mendekati atau menghubungi saksi-saksi pendakwaan.

Pada awalnya, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin berikutan jenis dan keseriusan kesalahan yang dilakukan.
Katanya, mangsa telah mengalami kecederaan lecur tahap kedua di bahagian kanan dada.
Bagaimanapun, Amirul yang tidak diwakili peguam memohon jaminan lebih rendah dengan alasan ibu bapanya adalah pesara kerajaan dan dia sendiri masih belajar.
“Saya berjanji akan hadir pada setiap kali perbicaraan,” katanya.
Terdahulu, tertuduh yang merupakan pegawai kadet senior tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada jam 9.45 pagi.
Tertuduh hadir dengan berkemeja putih dan bergari serta diiringi anggota dan pegawai polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Turut hadir ibu bapa tertuduh bagi mendengar pertuduhan dan membayar jaminan.

Sebelum ini media tempatan melaporkan, dalam kejadian jam 11.45 malam, mangsa mendakwa didatangi pegawai senior yang juga suspek sebelum mangsa diminta menggosok baju miliknya.
Pelajar senior berusia 22 tahun itu didakwa secara tiba-tiba mengambil seterika yang dipegang pengadu sebelum menekap bahagian dada sebelah kanan sebanyak satu kali.
Mangsa membuat laporan polis pada 1 November lalu dan keterangan daripadanya juga sudah direkodkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.
16 individu terdiri daripada mangsa, suspek dipercayai pelaku, penuntut dan kakitangan UPNM telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan.
Seterika yang digunakan suspek untuk menekap badan mangsa juga sudah dirampas sebagai bahan bukti kes itu.