Kes bunuh wanita Mongolia, Sirul boleh mohon ringankan hukuman

Bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar, yang disabitkan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, pada 2006 mempunyai tempoh hingga hujung tahun tahun ini untuk memohon Mahkamah Persekutuan meringankan hukumannya.

Perkara itu ekoran kewujudan Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Act 847).

Akta itu membolehkan banduan disabitkan hukuman mati memohon hukuman diringankan kepada pemenjaraan, susulan pemansuhan hukuman mati mandatori.

Bekas Presiden Majlis Peguam, Salim Bashir, berkata, sabitan dan hukuman Sirul bagi pembunuhan Altantuya akan kekal, sekiranya beliau tidak memfailkan permohonan untuk pertimbangan mahkamah tertinggi itu.

Beliau bagaimanapun berkata, sebarang lanjutan masa untuk memfailkan permohonan hanya boleh diberikan jika pesalah dapat memberi alasan kukuh.

“Beliau perlu melantik peguam di sini dan memfailkan permohonan sebelum bulan depan.

“Sirul juga perlu hadir di mahkamah ketika kesnya didengar,” katanya.

Salim juga berkata, Sirul berisiko ditahan sebaik tiba di Malaysia disebabkan status sebagai banduan.

Akhbar Australia, The Sydney Morning Herarld melaporkan Sirul Azhar dibebaskan selepas sembilan tahun berada dalam tahanan pihak imigresen negara itu sejak 2015.

Pembebasannya susulan keputusan Mahkamah Tinggi Australia pada 8 November lalu memutuskan bahawa tahanan bukan warga negara yang tidak dapat dihantar pulang, tidak boleh lagi ditahan selama-lamanya oleh pihak imigresen.

Difahamkan, susulan keputusan itu, seramai 92 orang dan kebanyakannya pelarian, termasuk beberapa orang lain yang didapati bersalah atas jenayah kekerasan dibebaskan dan dibenarkan tinggal di Australia di bawah syarat khas.

Menurut laporan media itu lagi, berita pembebasan Sirul Azhar disahkan anak lelakinya, Shukri Azam, yang kini turut menetap di Australia.

Pada 3 Mei lalu, media melaporkan Shukri Azam merayu kepada Kerajaan Australia untuk mempertimbangkan semula pemberian suaka politik kepada mereka selepas permohonan pertama ditolak pada 2019.

Shukri Azam Sirul Azhar, 23, berkata dia dan bapanya tidak bercadang untuk pulang ke Malaysia, walaupun hukuman mati mandatori bagi jenayah berat termasuk pembunuhan sudah dimansuhkan.

Akbar The Sydney Morning Herald melaporkan Shukri Azam yang berusia enam tahun ketika Altantuya dibunuh mendakwa, dia bimbang nyawa bapanya akan terancam jika mereka pulang semula ke Malaysia.

Shukri Azam dilaporkan dibesarkan oleh ibu bapa angkat di Australia selepas berjauhan dengan ibunya, dan ketika ini menetap di Australia selama hampir 10 tahun.

Altantuya dikatakan terbabit skandal dengan bekas penganalisis politik, Abdul Razak Baginda, yang juga sekutu rapat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri.

Warga Mongolia yang dilaporkan berperanan sebagai penterjemah proses perundingan penjualan kapal selam oleh sebuah syarikat pembekal senjata dari Perancis, DNS kepada kerajaan Malaysia, dibunuh dua pengawal peribadi Najib pada 18 Oktober 2006.

Berikutan itu, dua anggota Unit TIndakan Khas (UTK) iaitu Sirul Azhar Umar yang ketika itu berpangkat Koperal dan Cif Inspektor Azilah Hadri ditangkap sebelum didakwa di Mahkamah Shah Alam kerana membunuh Altantuya, pada November 2006.

Pada 9 April 2009, mahkamah menjatuhkan hukuman mati terhadap Sirul Azhar dan Azilah atas kesalahan membunuh Altantuya, bagaimanapun kedua-duanya memfailkan rayuan atas hukuman mereka.

Pada Februari 2012, permohonan rayuan mereka berlangsung selama tiga hari dan akhirnya pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan memerintahkan Azilah dan Sirul Azhar dilepas dan dibebaskan.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memfailkan rayuan atas keputusan itu di Mahkamah Persekutuan dan pendengaran rayuan berlangsung pada 23 Jun 2014. – Berita Harian

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat