PETALING JAYA: Selangor mencatat kejayaan besar apabila jumlah kes demam denggi pada tahun 2025 menurun sebanyak 61 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Negeri Selangor, Jamaliah Jamaluddin menyifatkan pencapaian itu sebagai amat signifikan hasil usaha bersepadu pelbagai pihak.
“Kerajaan Negeri Selangor ingin memaklumkan bahawa sepanjang tahun 2025, negeri ini telah berjaya mencatat penurunan yang signifikan dalam jumlah kes demam denggi berbanding tahun sebelumnya,” katanya.
Menurut beliau, sebanyak 23,565 kes denggi dilaporkan sepanjang tahun lalu, menurun sebanyak 36,799 kes atau 61 peratus berbanding 60,364 kes pada tempoh sama tahun 2024.
Beliau berkata, jumlah kematian juga menunjukkan penurunan dengan sembilan kes dilaporkan pada 2025 berbanding 16 kes pada tahun sebelumnya.
Tambah Jamaliah, kejayaan itu merupakan hasil usaha berterusan kerajaan negeri bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), agensi berkaitan lain serta komuniti dalam memperkukuh aspek pengawalan dan pencegahan denggi.
“Namun, usaha itu tidak boleh dilaksanakan secara bermusim sahaja dan kerajaan negeri komited untuk mengekalkan trend penurunan ini melalui pendekatan yang bersepadu dan berterusan,” katanya.
Secara keseluruhan, Selangor kini berada di kedudukan ketiga negeri yang mencatat peratus penurunan kes denggi tertinggi pada tahun lalu.
Perak merekodkan penurunan sebanyak 73 peratus dengan 6,924 kes pada 2024 berbanding hanya 1,851 kes pada 2025.
Negeri Perlis pula mencatat penurunan 70 peratus iaitu daripada 250 kes pada 2024 kepada 75 kes pada 2025.
Walaupun Perak dan Perlis mencatatkan peratusan penurunan yang lebih tinggi, jumlah populasi kedua-dua negeri itu jauh lebih kecil berbanding Selangor yang mempunyai lebih tujuh juta penduduk serta kawasan bandar yang padat.
Faktor ini menjadikan pencapaian Selangor lebih bermakna kerana kawalan denggi berjaya dilaksanakan dalam komuniti berskala besar dan berisiko tinggi.
Kerajaan negeri juga bakal meneruskan kempen Kembara Kesedaran Denggi Negeri Selangor dengan penambahbaikan serta penyertaan lebih ramai komuniti, di samping memperkasakan peranan pasukan Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA).
“Kejayaan menurunkan kes denggi ini membuktikan keberkesanan usaha bersepadu kerajaan negeri, agensi berkaitan dan komuniti dalam pencegahan serta kawalan penyakit.
“Namun, semua pihak termasuk masyarakat perlu terus proaktif agar Selangor kekal sebagai negeri yang selamat dan sihat untuk semua,” katanya.








