Perbicaraan dua kes hasutan membabitkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Mahkamah Sesyen Selayang dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Khamis.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin memutuskan untuk membenarkan permohonan memindahkan dan membicarakan kes berkenaan di mahkamah tersebut.
Dakwaan kes Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 4(1) akta sama, yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 11 Januari lalu, pemimpin Kedah ini mengemukakan permohonan untuk memindahkan kes dan menggantung perbicaraan di Mahkamah Sesyen Selayang ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Alasan permohonan dibuat ialah, perbicaraan yang saksama tidak dapat dijalankan di mahkamah rendah selain mungkin berlaku kesulitan di sisi undang-undang.
Pembelaan berkata, perbicaraan di mahkamah tinggi akan memudahkan rujukan dalam isu undang-undang yang rumit, yang mana kehakiman itu mempunyai keupayaan untuk memutuskan perkara itu.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan membantah permohonan berkenaan kerana kes itu tidak melibatkan persoalan undang-undang yang sukar atau kompleks.
Selain tarikh perbicaraan telah ditetapkan lebih awal, mereka menghujahkan, hakim yang akan mendengar kes di mahkamah rendah, berwibawa untuk mengendalikan perbicaraan jenayah itu.
Tarikh perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagaimanapun masih belum ditetapkan.
Baca juga: