PETALING JAYA: UMNO menegaskan parti itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan penemuan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi berkata, UMNO memandang serius sebarang cubaan untuk mengaitkan parti dengan siasatan SPRM yang melibatkan penemuan sejumlah besar wang tunai dan jongkong emas di kediaman individu tertentu.

“UMNO menegaskan bahawa parti ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan penemuan tersebut dan berpendirian bahawa SPRM harus diberikan ruang untuk menjalankan siasatan secara telus, bebas, dan adil tanpa sebarang gangguan.
“UMNO juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang secara sengaja mengaitkan, menuduh, atau mencipta persepsi bahawa parti ini mempunyai hubungan dengan kes yang sedang disiasat,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Khamis.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan Ismail Sabri merupakan suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta di dalam sebuah ‘safehouse’ selepas serbuan dilakukan SPRM.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Setakat ini, SPRM telah merakam percakapan 31 individu serta membekukan 13 akaun bank bernilai kira-kira RM2 juta, dengan kesemua akaun adalah sah dan aktif.
Proses rakaman percakapan Ismail Sabri bagi siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dijadual pada Rabu, terpaksa ditangguhkan kepada Jumaat ini.
Jelas beliau, penangguhan tersebut dibuat susulan masalah kesihatan Ahli Parlimen Bera itu.
Baca juga: