Kes Najib Wajar Dirayu Hingga Mahkamah Persekutuan – AMANAH Pahang

PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (AMANAH) Pahang berpandangan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung isu perintah tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak wajar dirayu sehingga ke Mahkamah Persekutuan bagi memperjelaskan kedudukan undang-undang dan prosedur Lembaga Pengampunan.

Ahli Dewan Negeri Pahang (dilantik), Mohd Fadzli Mohd Ramly berkata, pihaknya menghormati keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa perintah berkaitan tahanan rumah tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.

Namun, katanya, keputusan tersebut masih tertakluk kepada proses rayuan mengikut saluran perundangan sedia ada.

“Seperti mana biasa, ini merupakan keputusan Mahkamah Tinggi yang boleh dirayu sehingga ke Mahkamah Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Fadzli yang juga Pengerusi AMANAH Pahang dan Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan negeri itu berkata, pihaknya turut menjunjung sepenuhnya titah Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku Al-Sultan Abdullah yang dirujuk sebagai “adendum” berkaitan perintah tahanan rumah Najib dan berpandangan perkara itu wajar diberi perhatian serius oleh mahkamah.

Sebagai pengamal undang-undang, beliau berkata, kes berkenaan penting untuk diuji di peringkat lebih tinggi bagi mengambil kira kewujudan perintah tahanan rumah serta prosedur yang terpakai dalam proses Lembaga Pengampunan.

“Untuk rekod, inilah kali pertama proses Lembaga Pengampunan dibincangkan secara terbuka.

“Justeru, rayuan ini berpotensi mewujudkan rujukan kehakiman (judicial precedent) yang penting dalam sistem perundangan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Fadzli turut menzahirkan rasa simpati terhadap Najib dan keluarganya serta berharap mereka, termasuk kepimpinan UMNO di Pahang dan peringkat nasional, diberikan ketabahan dalam menghadapi situasi berkenaan.

Anda Mungkin Berminat