Kes Pegawai SPRM Ditahan, Diserah Penuh Kepada PDRM

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan pendiriannya untuk tidak berkompromi terhadap sebarang salah laku atau jenayah melibatkan pegawainya, susulan penahanan seorang Timbalan Pendakwa Raya (TPR) oleh pihak polis, baru-baru ini.

Pegawai terbabit, yang baru melapor diri minggu lalu, ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Selasa di kediamannya dan pemeriksaan lanjut turut menemui bahan terlarang yang disyaki dadah.

Dalam satu kenyataan, SPRM berkata, siasatan lanjut diserahkan sepenuhnya kepada PDRM dan memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh sepanjang proses tersebut.

“SPRM tidak akan berkompromi dengan salah laku, pelanggaran undang-undang atau perbuatan jenayah oleh mana-mana pegawai atau kakitangan.

“Suruhanjaya ini komited memastikan integriti serta tatakelola organisasi sentiasa dipelihara,” tegas SPRM.

SPRM turut menekankan bahawa tindakan tegas perlu diambil bagi memelihara keyakinan rakyat terhadap integriti institusi penguatkuasaan.

“Individu yang melakukan kesalahan jenayah akan dipertanggungjawabkan di bawah undang-undang tanpa sebarang pengecualian,” tambah kenyataan itu.

Anda Mungkin Berminat