PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Kerajaan Persekutuan untuk menggantung pelaksanaan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung isu Pemberian Khas 40 peratus kepada Sabah bagi tempoh 1974 hingga 2021.
Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan memaklumkan penghakiman bertarikh 17 Oktober 2024 itu digantung sementara menunggu pendengaran rayuan Kerajaan Persekutuan di Mahkamah Rayuan.
Menurut kenyataan itu, penggantungan diberikan bagi memastikan rayuan dapat didengar sepenuhnya dan tidak menjadi akademik atau sia-sia.
“Bagaimanapun, perintah penggantungan tersebut tidak meliputi dapatan Mahkamah Tinggi berkaitan peruntukan 40 peratus di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.” Menurut kenyataan itu pada Isnin.
Jabatan itu turut menegaskan bahawa rayuan yang difailkan oleh Kerajaan Persekutuan bukan terhadap formula 40 peratus berkenaan.
Sebaliknya, rayuan itu melibatkan sebahagian keputusan Mahkamah Tinggi termasuk isu tafsiran peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ia juga merangkumi dapatan Mahkamah Tinggi bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah didakwa menyalahgunakan kuasa serta melanggar kewajipan perlembagaan sejak 1974.
“Keputusan Mahkamah Rayuan itu membolehkan proses perundangan diteruskan sementara menunggu penentuan muktamad terhadap isu-isu yang dibangkitkan dalam rayuan berkenaan” menurut kenyataan itu lagi.
Baca juga:








