PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini hari ini mengarahkan ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf, membela diri atas pertuduhan mengabaikan anak, manakala bapanya, Zaim Ikhwan Zahari, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan yang sama.
Memetik laporan berita daripada media tempatan, Hakim Dr Syahliza Warnoh membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ismanira, 30, namun gagal berbuat demikian terhadap Zaim Ikhwan, 30, pada akhir kes pendakwaan.
Pasangan itu sebelum ini didakwa atas tuduhan mengabaikan Zayn Rayyan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal antara 5 dan 6 Disember 2023 di sekitar Apartmen Idaman, Damansara Damai, serta kawasan sungai berhampiran.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Syahliza dalam penghakiman ringkasnya menyatakan, selepas menilai keterangan saksi dan hujahan kedua-dua pihak secara menyeluruh, mahkamah mendapati pendakwaan gagal membuktikan elemen pemeliharaan, pengabaian dan niat bersama terhadap Zaim Ikhwan.
Justeru, katanya, Zaim Ikhwan dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri, manakala wang jaminannya turut diperintahkan untuk dikembalikan.
Mahkamah turut memutuskan bahawa Ismanira perlu membela diri atas pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Ismanira memilih untuk memberikan keterangan secara bersumpah dari kandang saksi, selepas dimaklumkan mengenai tiga pilihan oleh mahkamah berhubung pembelaan dirinya.
Allahyarham Zayn Rayyan dilaporkan hilang pada 5 Disember 2023 sebelum mayatnya ditemui keesokannya di aliran anak sungai berhampiran rumahnya.
Baca juga: