Kes Saman Sanusi: Saifuddin Tak Mengalah, Bawa Ke Mahkamah Rayuan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan hasrat untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar yang memihak kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam kes saman fitnah membabitkan kenyataan beliau pada Julai 2023.

Dalam kenyataan medianya, Saifuddin berkata, beliau menghormati keputusan mahkamah tersebut, namun menegaskan wujud asas undang-undang yang kukuh untuk dirayu di Mahkamah Rayuan.

“Setelah meneliti keputusan tersebut bersama pasukan guaman, saya telah mengarahkan peguamcara saya untuk segera memfailkan rayuan.

“Saya juga akan memohon penangguhan pelaksanaan keputusan sementara menunggu proses rayuan selesai,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri turut menegaskan bahawa kenyataan yang dibuat sebelum ini adalah berlandaskan tanggungjawab sebagai pemimpin politik untuk menyuarakan isu kepentingan awam.

“Saya akan terus berpegang pada prinsip bahawa keterbukaan, integriti dan kebertanggungjawaban adalah asas penting dalam amalan demokrasi serta percaya sistem kehakiman negara akan memberikan ruang yang adil bagi saya mengemukakan hujah dan mempertahankan kebenaran,” jelasnya.

Kes saman ini difailkan oleh Muhammad Sanusi berhubung kenyataan Saifuddin pada 14 dan 15 Julai 2023 yang didakwa berunsur fitnah.

Prosiding yang berlangsung sejak tahun lalu mendapat perhatian kerana ia melibatkan pertelingkahan terbuka antara dua tokoh politik utama tanah air.

Pemerhati politik berpandangan keputusan rayuan ini kelak bakal memberi kesan bukan sahaja kepada reputasi kedua-dua pihak, malah juga kepada dinamika politik nasional, khususnya menjelang pilihan raya umum akan datang.

Anda Mungkin Berminat