Kes selesema luar biasa di AS menular ke Australia

SYDNEY: Peningkatan mendadak kes selesema di Amerika Syarikat mencetuskan kebimbangan bahawa pemakaian pelitup muka mungkin diperkenalkan semula di beberapa persekitaran berisiko tinggi di Australia.

Setakat 20 Disember, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS menganggarkan sekurang-kurangnya 7.5 juta kes selesema, 81,000 kemasukan ke hospital dan 3,100 kematian direkodkan.

Di Australia, negeri seperti New South Wales, Victoria, Queensland dan Australia Selatan turut melaporkan kes selesema yang luar biasa tinggi, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keupayaan sistem kesihatan akibat penurunan imuniti dan kadar pengambilan vaksin.

Pakar epidemiologi dari Universiti Deakin, Profesor Catherine Bennett, memberi amaran mengenai varian baharu influenza A H3N2 yang mempunyai mutasi baharu dan lebih berupaya mengelak sistem imun. Walaupun vaksin sedia ada masih berkesan, tahap perlindungannya berkurangan, menyebabkan musim selesema lebih teruk.

Beliau memaklumkan beberapa hospital di Amerika Syarikat telah mengembalikan keperluan pemakaian pelitup muka, dan langkah sama mungkin dipertimbangkan di Australia khususnya di fasiliti kesihatan dan lokasi berisiko tinggi.

Jawatankuasa Perlindungan Kesihatan Australia (AHPC) menasihatkan individu yang mengalami simptom selesema agar kekal di rumah, mengelakkan golongan berisiko tinggi dan mempertimbangkan pemakaian pelitup muka jika perlu keluar.

“Orang ramai juga digalakkan mendapatkan vaksin selesema, terutamanya golongan warga emas, kanak-kanak kecil, Orang Asli Australia, serta mereka yang mempunyai penyakit kronik.

“Perjalanan antarabangsa pada hujung tahun berpotensi meningkatkan penularan, dan keberkesanan vaksin selesema biasanya menurun selepas enam bulan. Oleh itu, individu yang ingin melancong disaran mempertimbangkan suntikan vaksin tambahan,” kata kenyataan itu lagi pada Jumaat.

Langkah paling berkesan untuk mengurangkan penularan ialah mengelakkan pergaulan ketika bergejala dan memakai pelitup muka apabila perlu keluar rumah.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat