DUNGUN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang giat memburu seorang lelaki yang bertindak melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap seorang mangsa berhampiran pintu masuk Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, Terengganu, tengah hari pada Sabtu.
Dalam kenyataan rasmi, Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun memaklumkan insiden berlaku sekitar pukul 12.30 tengah hari apabila suspek menaiki sebuah motosikal dan bertindak tidak senonoh sebelum melarikan diri.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan.
Polis turut mengesahkan sedang meneliti sebuah video tular yang dipercayai berkaitan dengan kejadian tersebut.
“Polis memandang serius perkara ini dan akan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan perbuatan tidak bermoral yang boleh mengancam keselamatan awam,” tegas kenyataan itu.
Orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun atau balai polis berdekatan.








