Kes tembakan KLIA: Suspek mungkin cuba lari ke Mekah, bermotif peribadi

Polis tidak menolak kemungkinan suspek dalam kejadian tembak di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA (KLIA) merancang untuk melarikan diri ke Mekah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, suspek – yang kini direman – merancang untuk melarikan diri melalui sempadan Kelantan-Thailand.

Mohd Shuhaily berkata polis yakin selepas menjadi buruan pihak berkuasa Hafizul Hawari cuba meloloskan diri melalui sempadan berkenaan untuk bersembunyi di negara lain.

Bagaimanapun, katanya, polis belum dapat mengesahkan kaedah yang mahu digunakan lelaki terbabit bersama persediaan yang dibuatnya, termasuk sejumlah wang asing serta pasport.

“Memang dia kerap ke luar negara, saya tak menyangkal kemungkinan itu (mahu menuju ke Mekah), tapi setakat ini ia masih lagi suatu kemungkinan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Mohd Shuhaily berkata tangkapan ke atas suspek berkenaan dibuat ketika dia mahu mengambil laporan ujian kesihatan di sebuah hospital swasta di Kota Bharu.

Katanya lelaki terbabit juga menginap di sebuah hotel berhampiran dengan hospital berkenaan.

Menurut Mohd Shuhaily selepas kejadian di KLIA itu suspek terus bergerak ke Kelantan menggunakan sebuah kereta jenis Honda Civic yang menggunakan nombor pendaftaran palsu bagi mengelak dia dikesan pihak berkuasa.

“Polis mendapat maklumat bahawa suspek menginap di sebuah hotel di Kota Bharu, dari situ intipan dibuat sehinggalah membawa kepada penahanan suspek di hadapan sebuah hospital swasta.

“Suspek ketika itu mahu mengambil laporan ujian kesihatan dari hospital berkenaan,” katanya.

Susulan tangkapan itu Mohd Shuhaily berkata polis merampas sepucuk pistol jenis Glock-19 beserta lapan peluru hidup selain sekotak peluru dengan 24 butir peluru hidup serta enam telefon bimbit.

Tidak ketinggalan polis juga menemui dan merampas pasport milik suspek bersama sejumlah mercun bola, wang tunai dalam bentuk mata wang bhat Thailand dan riyal Arab Saudi, tiga kunci kereta, seutas jam tangan dan empat kad pengenalan milik orang lain.

Tambahnya berdasarkan siasatan awal juga, polis mendapati suspek seorang hafiz dan pernah belajar di sebuah pondok di Repek, Pasir Mas.

“Semasa soal siasat kami dapati suspek seorang hafiz, mahir dalam bidang agama dan al-Quran,” katanya.

Mohd Shuhaily berkata suspek akan dibawa pulang ke Selangor untuk membolehkan polis menyelesaikan segala kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan cuba membunuh.

“Polis juga akan panggil semula beberapa saksi untuk memperkemaskan lagi siasatan sebelum dibawa ke peringkat pendakwaan,” katanya lagi.

Dalam kejadian 1.20 pagi kelmarin, beberapa das tembakan yang dilepaskan suspek menggemparkan orang ramai di balai ketibaan yang terletak di aras tiga KLIA.

Suspek dipercayai cuba menembak isterinya dengan menggunakan sepucuk pistol ketika wanita itu menunggu jemaah umrah pulang dari Tanah Suci di Balai Ketibaan Antarabangsa bersama dua pengawal peribadi.

Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata setakat ini polis tidak mengesan sebarang unsur lain yang mendorong seorang lelaki melepaskan tembakan ke arah isterinya.

Mohd Shuhaily berkata pihaknya mengesahkan motif utama suspek, Hafizul Hawari, 38, masih sama iaitu berkaitan perihal peribadi di antara suspek dan isterinya.

Suspek melepaskan dua das tembakan ke arah isterinya, satu das tembakan tersasar, namun satu lagi das tembakan terkena seorang pengawal peribadi isteri suspek.

Mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun terkena tembakan pada bahagian perut.

Sehingga kini, mangsa yang dirawat di Hospital Cyberjaya belum sedarkan diri.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat